'Pegang Al-Quran Menenangkan Saya' Lindsay Lohan Nafi Buat Gimik

Pegang Al-Quran Menenangkan Saya

Penyanyi antarabangsa, Lindsay Lohan, menjelaskan dia tidak pernah cuba mencari publisiti apabila dirakam memegang al-Quran, tahun lalu.

Sebaliknya, gambar itu diambil tanpa sedar dan dia punya sebab tersendiri mengapa memegang kitab suci umat Islam itu.

Dalam satu temuramah eksklusif bersama sebuah rancangan bual bicara Swar Shoaib di Kuwait hujung minggu lalu, Lohan mendedahkan, emosinya ketika itu tidak tenteram dan merasa aman apabila memegang al-Quran.

"Saya berada dalam situasi sukar ketika itu, banyak yang berlaku dalam hidup saya. Tapi saya rasa tenang apabila memegang al-Quran," jelasnya.

Menjawab pertanyaan hos rancangan itu, Lohan mendedahkan dia sudah membaca 15 muka surat terjemahan al-Quran, selain turut mendengar bacaan ayat suci al-Quran melalui aplikasi yang dimuat turun di telefon bimbitnya.

Aktres berusia 30 tahun itu juga memberitahu, dia pernah cuba solat dan pernah berpuasa selama tiga hari, pada bulan Ramadan yang lalu.

"Berpuasa sesuatu yang sukar tapi ia menyeronokkan," tambah Lohan.

Sementara itu, dalam status terbaharu yang dimuat naik ke akaun Instagram, Lohan memetik hadis riwayat Bukhari tentang berbuat baik.
Status itu sudah mengumpul lebih 140,000 likes setakat ini.