Latest News

Fazura Sedia Berganding dengan Fattah Amin


Memang pening juga pengarah terkenal, Micheal Ang mahu mencari pengganti Neelofa dalam drama terbaru beliau, Hero Seorang Cinderella. Ramai selebriti termasuk Fazura menolak untuk membintangi drama terbabit kerana bimbang dengan fenomena Lofattah. Bagaimanapun, Fazura menafikan dakwaan itu dan bersedia untuk bergandingan dengan Fattah Amin.

“Perkara itu tidak benar. Saya tidak pernah melahirkan rasa bimbang untuk mengambil watak yang ditawarkan, sama ada dari segi profesional atau berkaitan sambutan peminat seperti yang didakwa,” katanya kepada Berita Harian Online berhubung perkara berkenaan.


Manakala menurut wakil agensi pengurusan Fazura, Kenny Ong, pihaknya kini sedang menimbangkan tawaran berkenaan namun tiada sebarang kata putus dapat diberikan setakat ini. Terdahulu, menerusi laporan Harian Metro, Ang meluahkan rasa buntu mencari heroin drama itu kerana ramai selebriti bimbang reaksi peminat Lofattah termasuk Fazura.

Selain Fazura, antara pelakon wanita lain yang disebut bakal bergandingan bersama Fattah adalah Janna Nick, Emma Maembong dan Nur Fathia. Sebelum ini Neelofa mengakui beliau terpaksa mengalah dan menarik diri untuk menjadi heroin dalam drama terbabit. Tanpa menyatakan sebab, tindakan Neelofa itu telah mengundang kekecewaan peminat mereka.