Latest News

Danny Lalui Pengalaman Luar Biasa Jadi Pemandu Uber


Ketika ramai selebriti berkongsi pengalaman selepas beralih ke bidang perniagaan, penyanyi Danny X-Factor pula melalui situasi berbeza selepas lebih sebulan menjadi pemandu perkhidmatan Uber.

Danny atau Mohd Khardanie Anwa berkata, walaupun pekerjaan itu hanya dilakukan secara sambilan, dia mula berasa seronok selepas mendapat pendapatan yang disifatkan sebagai lumayan selain melihat pelbagai karenah manusia.

"Idea menjadi pemandu Uber muncul selepas melihat rakan-rakan mula melakukannya secara sambilan atau sepenuh masa dan pulangan yang mereka dapat memang mengejutkan.

"Jadi saya pun mula mendaftar dan Alhamdulillah saya menyukainya, lagipun saya lakukannya secara sambilan seperti pada hujung-hujung minggu seperti pada masa isteri (kerja pramugari) tiada di rumah atau jika tidak terlibat dengan kerja produksi," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Menurut Danny, 37, dia tidak kisah walaupun ada segelintir pihak yang memberikan komen negatif mengenai pekerjaan yang dilakukannya itu termasuk yang menuduhnya sudah 'tidak laku' dalam industri hiburan.

"Ini semua kerja keyboard warrior, tapi saya tak kisah orang nak kutuk saya tak ada job atau tak laku. Yang penting saya lakukan pekerjaan yang halal tanpa mengganggu hak orang lain dan pada masa sama boleh tambah duit poket.

"Kalau nak layan kata-kata negatif orang memang tak habis, mereka yang kutuk saya tu tak tahupun kebaikan jadi pemandu Uber terutamanya untuk tambah pendapatan," katanya.
Cerita Danny, dia mampu memperoleh pendapatan serendah RM200 sehari bagi perkhidmatan yang dilakukan selama tiga sehingga empat jam namun pendapatan itu dijangka lebih jika dia melakukan kerja-keja itu secara sepenuh masa.

"Seminggu saya boleh dapat sehingga RM1,000, siapa nak bagi wang sebanyak itu kalau kita malas berusaha.

"Selagi kita ada tenaga untuk bekerja, apa salahnya untuk melakukan sesuatu yang boleh menambah pendapatan dalam keadaan ekonomi yang tak begitu baik sekarang ini," katanya.

Danny menjalankan perkhidmatannya di sekitar Bukit Jalil, Puchong, Cyberjaya dan Sri Petaling.

Berkongsi lanjut mengenai pengalamannya, Danny berkata dia begitu seronok tatkala ada penumpang yang mengenalinya sebagai selebriti.

"Saya berbangga apabila dapat memberi perkhidmatan kepada peminat yang selama ini sering menyokong kerjaya seni saya.

"Sebab itu saya tak pernah rasa malu untuk lakukan kerja ini. Malah mereka kagum dengan kesungguhan saya... mereka sokong apa yang saya lakukan," katanya.

Tambah Danny, dia juga berpeluang untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Saya tidak mengenakan bayaran jika pelanggan yang menempah perkhidmatan itu adalah di kalangan pelajar sekolah atau kolej.

"Pernah juga saya menghantar seorang wanita yang cacat penglihatan secara percuma.

"Bagi saya inilah cara dan masanya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat, mungkin bukan dengan wang ringgit, tapi sekurang-kurangnya saya dapat meringankan perbelanjaan mereka," cerita Danny.

Sebagai pemandu Uber yang dikenali, Danny mengakui turut berhadapan 'gangguan' terutamanya di kalangan pelanggan wanita.

Bagaimanapun menurut Danny, pengalaman sebagai bekas pramugara banyak membantunya untuk berhadapan pelbagai ragam penumpang dengan baik.

"Bila mereka tahu nombor telefon saya, ada yang sering hubungi pada waktu malam untuk  bertanya khabar atau berborak tetapi saya tak akan melayan semua itu.

"Ada juga penumpang di kalangan pelancong asing yang berborak-borak mesra dan tidak percaya saya adalah rakyat Malaysia kerana berwajah kacukan.

"Tapi semua itu saya layan dengan baik," katanya yang memandu kenderaan jenis Honda City bagi perkhidmatan itu.

Antara pengalaman lain ujar Danny, peminat pernah menangis ketika mendapatkan perhidmatan Uber miliknya kerana individu itu benar-benar terkejut pemandu kereta yang ditempahnya merupakan seorang artis. (mstar)